Empat tahun yang lalu Fairphone 2 dilancarkan sebagai telefon pintar mesra alam dan menghormati hak asasi manusia. Kesemua komponen peranti dipastikan menggunakan bahan mentah dari sumber yang tidak diragui dan peranti boleh dikitar semula selepas tidak lagi digunakan. Hari ini Fairphone 3 akhirnya diumumkan masih dengan tujuan yang sama iaitu menghasilkan peranti yang tidak memberikan impak negatif kepada dunia.
Spesifikasi peranti adalah skrin 5.7″ FHD+, pemproses Snapdragon 632, memori sebesar 4GB RAM, storan sebesar 64GB, kamera utama 12-Megapixel, kamera swafoto 8-Megapixel dan bateri sebesar 3000 mAh. Terdapat sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 menerusi port USB-C.Sistem operasi yang digunakan pula ialah Android 9 Pie. Pengimbas cap jari diletakkan pada panel belakang dan juga masih mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5mm.
Kesemua komponen peranti adalah modular bagi memudahkan proses pertukaran komponen yang rosak di masa hadapan. Bateri masih boleh ditanggalkan tidak seperti majoriti peranti di pasaran sekarang. Kesemua komponen plastik dan elektronik dihasilkan dari bahan kitar semula. Pihak Fairphone juga memastikan kebajikan pekerja yang menghasilkan peranti mereka terbela tanpa elemen eksploitasi.

