Di Amanz kami banyak menerbitkan video bagi tontonan anda saban hari. Kami menyedari resolusi 1080P kini dianggap tidak lagi memadai di dalam dunia dipenuhi TV 4K UHD. Tetapi ini memerlukan kami menaiktaraf kelengkapan kamera yang digunakan sekarang. Oleh itu pelancaran kamera Panasonic Lumix S1H hari ini membuatkan kami tertarik. Ia sebuah kamera nircermin dengan sensor bingkai penuh yang direka khusus untuk tujuan videografi.

Keseluruhan tubuh diperbuat dari aloi magnesium untuk mengurangkan berat. Sistem penyejukan aktif dengan kipas disertakan bagi membolehkan rakaman video berterusan dilakukan tanpa risau terhenti kerana kepanasan. Keseluruhan kamera juga mempunyai kemampuan kalis percikan air.
Bagi memudahkan lagi proses rakaman, sebuah skrin LCD sesentuh pada bahagian belakang boleh dijungkit ke atas atau keluar dengan bebas. Di Amerika Syarikat Panasonic Lumix SH1 dijual pada bulan September pada harga bermula $4000 (~RM16,700) tanpa lensa.
