Dyson ialah sebuah jenama teknologi yang sangat terkenal untuk peranti-peranti seperti pembersih hampagas dan pengering rambut yang hadir dengan teknologi yang tidak dilihat didalam mana-mana peranti lain.
Pada tahun 2017, mereka telah mengumumkan dimana mereka mempunyai keinginan untuk membina kereta elektrik yang akan hadir dengan teknologi-teknologi baru. Pada waktu tersebut, Dyson benar-benar serius mengenai teknologi ini, dan mengumumkan pelan untuk membina kilang penyelidikan dan pembangunan di Singapura yang akan menelan belanja $3.1 bilion yang dijangka akan siap pada tahun depan.
Akan tetapi, pelan tersebut nampaknya akan berkubur kerana James Dyson, pengasas syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa mereka akan membatalkan projek tersebut. Alasan yang diberi oleh beliau ialah walaupun kereta itu sudahpun siap dibina, mereka tidak dapat mencari sebarang pembeli, dan ia adalah sangat sukar untuk mengkomersialkan kereta tersebut.
Walaupun projek kereta elektrik tersebut tidak mendatangkan hasil, beliau berkata bahawa Dyson akan mengalihkan perhatian mereka kepada pembangunan bateri keadaan pepejal (solid state), teknologi pengimbas, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.
Dyson cukup gembira tentang kemajuan teknologi bateri mereka, dan mengatakan bahawa ia akan mengembangkan lagi kebolehan syarikat tersebut di pelbagai bidang.

