Wabak Koronavirus Wuhan atau nama saintifiknya 2019 nCoV mula menjadi topik perbualan global sejak seminggu lalu. Sehingga kini 25 kematian telah dilaporkan dengan lebih 900 kes dilaporkan di Amerika Syarikat. Thailand, Taiwan, SIngapura dan Jepun. Kesemuanya berlaku kerana dipercayai akibat tabiat memakan haiwan eksotik. Terkini kerajaan China mengumumkan sebuah hospital khas sedang dibina di Wuhan dan ia bakal siap dalam masa hanya enam hari.

Apabila memulakan operasi pada 3 Februari (10 hari selepas pembinaan dimulakan), hospital ini akan menempatkan kesemua pesakit 2019 nCoV yang kini dirawat di lebih 60 hospital dan klinik di Wuhan. Ketika artikel ini ditulis, bandaraya Wuhan telah dikuarantin dengan pergerakan keluar serta masuk dihalang oleh kerajaan bagi mengelakkan penyebaran virus.
Teknologi pembinaan pantas di China mendapat perhatian dunia apabila sebuah bangunan 57 tingkat berjaya dibina dalam masa 19 hari menggunakan teknik pasang siap pada tahun 2015.

