Manchester City terus himpit Liverpool

26 Oct 2019 • 9:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PENYANDANG juara, Manchester City terus memberi tekanan kepada pendahulu, Liverpool apabila melakar kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, sebentar tadi.

Kemenangan skuad kendalian Pep Guardiola itu secara tidak langsung mengecilkan jurang mata dengan The Reds menjadi tiga mata.

Bagaimanapun, tiga mata berharga diraih The Citizens tidak semudah disangka apabila tuan rumah menemui jalan buntu merobek gawang The Villians sehingga kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Beberapa saat babak kedua bermula The Villians dikejutkan The Citizens yang lebih agresif apabila mendahului pada minit ke-46 hasil jaringan Raheem Sterling.

Gol itu menjadi perlawanan kembali sengit dengan anak-anak buah Guardiola terus mengasak yang kemudiannya menjelmakan gol pada minit ke-65 hasil jaringan Kevin De Bruyne.

Lima minit kemudian, giliran Ilkay Gundogan mencetak nama sebagai penjaring seterusnya memastikan kemenangan bergaya kelabnya itu.

Pada aksi itu juga, Fernandinho dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua setelah mengasari Keinan Davis pada minit ke-88.