Secara purata stereng pada kereta boleh memutarkan roda sehingga 33 darjah. Ini adalah sudut maksimum yang boleh dilakukan untuk membelok kerana had fizikal aci sambungan dari enjin kenderaan. Tetapi pada kenderaan elektrik ini bukan lagi halangan kerana motor elektrik dalam hub tayar telahpun dibangunkan. Syarikat Protean Electric telah mengumumkan sistem Protean360+ yang membolehkan roda membelok bebas 360 darjah.
Dengan sistem ini kenderaan boleh melakukan parkir sisi dengan mudah kerana keempat-empat tayar boleh dibelok 90 darjah. Setiap Protean360+ juga dilengkapi sistem apungan dan brek terbina. Dengan sistem apungan yang digunakan, bas elektrik awam misalnya boleh “melutut” pada ketinggian yang sama dengan kaki lima. Ini memudahkan golongan berkerusi roda atau ibu dengan kereta sorong memasuki ruang bas.



