Kesemua peranti yang ingin menyertakan pengimbas cap jari bawah skrin perlu menggunakan skrin OLED. Ini adalah kerana lapisan lampu belakang LCD yang lebih tebal membuatkan ia sukar dilakukan berbanding OLED. Tetapi syarikat BOE kini mendakwa mereka telah berjaya melakukannya untuk pelanggan yang berminat.

Dengan pengimbas cap jari bawahskrin, proses menyahkunci adalah lebih mudah kerana pengguna boleh melakukan proses ini walaupun ketika peranti di atas meja. Penyelesaian sebelum ini pada peranti semua skrin ialah meletakkan pengimbas cap jari pada bahagian belakang dan sisi.
Pada waktu ini 85% peranti di pasaran masih menggunakan skrin LCD. Dengan teknologi BOE, pengeluar tidak perlu berpindah ke OLED yang lebih mahal semata-mata untuk menyertakan pengimbas cap jari bawah skrin. Ia juga akan mengukuhkan kedudukan BOE sebagai pengeluar panel LCD terbesar dunia selepas memintas LG tahun ini.
