Tidak seperti kereta bahan api fosil, proses mengecas kenderaan elektrik adalah jauh lebih memakan masa. Tanpa sistem pengecasan pantas, kenderaan elektrik memerlukan sehingga 9 jam untuk dicas sepenuhnya. Bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh, berhenti selama beberapa jam di stesen pengecasan adalah amat membuang masa. Sebuah konsep dari University of Florida mencadangkan kereta elektrik yang boleh mengecas sesama sendiri tanpa perlu berhenti.

Menerusi simulasi komputer yang dilakukan, dengan sistem ini kereta dapat mengurangkan keperluan berhenti sehingga 65%. Penggunaannya mungkin lebih sesuai pada perkhidmatan teksi elektrik swapandu di masa hadapan. Lori pengecas boleh diletakkan di atas jalan raya dan mengecas teksi semasa ia masih dalam perjalanan ke destinasi. Tanpa perlu berhenti dengan kerap, jumlah perjalanan sehari akan meningkat selari dengan keuntungan syarikat.

