
SHAH ALAM, 25 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengenang jasa Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said yang sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasakan bidang kesusasteraan.
Beliau berkata Allahyarham yang mesra dikenali sebagai Pak Samad turut hadir memberikan sokongan pada Malam Hadiah Sastera Selangor pada 2019 dan 2021.
Menurutnya, pemergian tokoh sastera itu merupakan kehilangan besar kepada negara, khususnya menerusi karya yang mengetengahkan nilai kemanusiaan, keadilan dan perjuangan.
“Pak Samad lebih daripada seorang sasterawan. Pak Samad adalah sosok yang mengajar kita melalui karyanya tentang kemanusiaan, keadilan dan perlawanan.
“Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi akan terus dibaca generasi demi generasi,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Amirudin berkata sumbangan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan akan terus dikenang melalui karya yang ditinggalkan.
“Negara kehilangan seorang sosok yang besar jasanya kepada bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan sahabat Allahyarham serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Allahyarham merupakan Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan itu pada 1985.






