A Samad Said meninggal dunia

LocalEntertainment
24 Nov 2026 • 7:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: A Samad Said meninggal dunia
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang Selasa.

SHAH ALAM - Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun pada jam 6.10 petang Selasa.

Perkhabaran duka tersebut dikongsikan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di platform Threads.

“6.10. Innalillahiwainnailaihirojiun,” tulisnya ringkas.

Sebelum ini, media melaporkan sasterawan negara menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke wad pada Isnin akibat sakit tua.

Helmy, 63, sebelum ini mengesahkan bapanya turut menghidap diabetes dan memaklumkan keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

“Keadaan bapak tidak begitu baik. Sakit tua. Juga ada diabetes. Masuk lewat petang semalam (Isnin),” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar sasterawan tersohor negara itu segera sembuh.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh sastera berkenaan.

Beliau memetik bait puisi Allahyarham daripada karya Kita Ini Tetamu Senja yang membawa makna mendalam mengenai kehidupan dan kematian.

“Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya.”

Menurutnya, pemergian Pak Samad meninggalkan rasa kehilangan, namun sumbangan dan karya Allahyarham dalam memperkaya bahasa akan terus dikenang.

"Hari ini, bait itu kita baca dengan rasa kehilangan. Terima kasih, Pak Samad, kerana mengajar kita mencintai bahasa dan berani bersuara untuk mereka yang jarang didengari," kongsinya.

Beliau turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga Sasterawan itu dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.

A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka dan menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.

Allahyarham yang lebih mesra disapa Pak Samad menghasilkan beberapa karya terkenal termasuk novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved