Topeng muka tidak cukup, kerajaan larang eksport

21 Mar 2020 • 11:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) menyedari kekurangan bekalan topeng muka di pasaran sekarang akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini berkata, sehubungan itu kerajaan mengambil langkah mewartakan larangan eksport topeng muka ke luar negara dan membenarkan import topeng muka dari luar negara bagi meningkatkan bekalan topeng muka di pasaran tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, segala eksport topeng muka ke luar negara adalah tidak dibenarkan kerana Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport)(Pindaan) (No. 2) 2020 telah diwartakan di bawah Akta Kastam 1967 pada 20 Mac 2020.

"Kerajaan melaksanakan sesi libat-urus dengan pengeluar topeng muka tempatan.

"Bagaimanapun, harga bahan mentah topeng muka yang 90 peratus diimport dari luar negara meningkat ke tahap yang tidak ekonomikal untuk pengeluaran dan pasaran runcit sejak wabak Covid-19 melanda dunia," katanya.

Menurut kementerian itu, kesemua empat buah kilang pengeluar topeng muka tempatan bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran dan bekalan domestik, namun masih tidak mencukupi untuk sektor kesihatan dan barisan hadapan.

"Sektor kesihatan dan barisan hadapan yang mengurus dan merawat pesakit yang perlu diberi keutamaan terutama selepas gelombang kedua Covid-19 di negara ini," katanya.