
BACHOK – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyarankan semua juruterbang dan anak-anak kapal penerbangan agar menjalani ujian saringan dadah secara rambang sebulan sekali.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, perkara itu bagaimanapun masih diperingkat penelitian dan kajian kedua-dua pihak dengan melihat keperluan tertentu.
Kata beliau, AADK sudah mengadakan perjumpaan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama yang lebih erat khususnya melibatkan pelaksanaan program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) pada Oktober ini.
Menurutnya, MoU itu memberikan ruang kepada AADK dan MAG untuk bekerjasama dalam program-program pencegahan dadah dan juga ujian urin.
“Menerusi MoU itu, kita mencadangkan agar dapat menjalankan ujian saringan air kencing kepada juruterbang dan anak-anak kapal secara rambang secara sebulan sekali.
“Sebenarnya, kerjasama antara AADK dan MAG sudah dijalankan sebelum ini, namun ujian saringan air kencing dijalankan secara berkala. Dengan MoU kali ini, mungkin kekerapan ujian tersebut boleh dijalankan sebulan sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Strategik Pengarah JSJN Bukit Aman ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin memberitahu, ujian urin secara kerap dalam tempoh yang pendek perlu dijalankan bagi mengelakkan kes tangkapan seorang pembantu juruterbang di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini berulang.
Katanya, meskipun pihak MAG mempunyai hospital atau klinik panel termasuk doktor terlatih, AADK merasakan bahawa ujian urin dan pemeriksaan secara rambang perlu dijalankan.
“Ada kes memerlukan ujian urin dijalankan dalam masa yang singkat dan tempoh sebulan sekali adalah cadangan yang lebih sesuai kita buat secara rambang. Justeru, saya berharap MoU dimeterai antara AADK dan MAG dapat pada bulan depan dan segala draf cadangan sudah berada di peringkat akhir.
“Setakat ini, ujian urin yang dijalankan sehingga 15 September ini terhadap lebih 1,000 juruterbang mendapati kesemua mereka negatif dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post AADK cadang juruterbang, anak kapal jalani ujian urin sebulan sekali appeared first on Kosmo Online.





