Aaron minta segera siasat video tular wanita dayak dimaki

LocalPolitics
26 Mar 2025 • 9:28 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap satu video tular seorang jurujual wanita berketurunan Dayak yang didakwa telah dimaki dengan kata-kata kesan serta diugut di Central i-City Shah Alam, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan tindakan yang bersifat perkauman dan tidak bertamadun itu perlu ditangani secara serius.

“Kementerian Perpaduan Negara tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

“Tindakan yang bersifat perkauman dan tidak bertamadun seperti ini harus ditangani dengan serius, dan saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau juga menzahirkan rasa dukacita apabila insiden ini melibatkan perkataan berbaur perkauman yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“Lebih mendukacitakan lagi, insiden ini turut melibatkan perkataan berbaur perkauman yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama ini.

“Setiap individu di negara ini berhak untuk dihormati tanpa mengira latar belakang etnik, agama, atau status sosial mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron turut mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar terus menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Terdahulu, satu video tular yang mendakwa seorang jurujual wanita berketurunan Dayak telah diugut dan dimaki, hanya kerana bertanyakan duit syiling RM 0.50. Difahamkan lelaki berkenaan mendakwa dia merupakan seorang anggota unit beruniform.