Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Singapura 2025, tamatkan kemarau 17 tahun untuk Malaysia

1 Jun 2025 • 7:58 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Selepas beberapa penampilan meyakinkan musim ini, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akhirnya melakar kejayaan bermakna apabila menjuarai Terbuka Singapura 2025, sekaligus menoktahkan penantian 17 tahun beregu lelaki negara untuk mendakap gelaran itu semula.

Dalam aksi akhir di Stadium Tertutup Singapura, gandingan pilihan negara itu tampil dengan persembahan penuh disiplin, menewaskan pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan selama satu jam lima minit.

Kemenangan ini turut menjadi detik pembalasan buat Aaron-Wooi Yik selepas tewas kepada pasangan Korea itu dalam separuh akhir Terbuka India, Januari lalu. Lebih manis, ini adalah gelaran ketiga mereka musim ini selepas memenangi Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand.

Meskipun bermula hambar apabila tewas set pertama, Aaron-Wooi Yik bangkit memperkemas rentak dengan gaya permainan menyerang yang lebih tajam di set kedua. Ketekunan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi set ketiga menyaksikan kedua-dua pasangan saling berbalas serangan. Namun, kelebihan dari segi kawalan jaring dan ‘placement’ yang lebih kemas memberikan kelebihan buat Aaron-Wooi Yik untuk mendahului 16-12 sebelum mengesahkan kemenangan 21-19.

Jurulatih mereka, Herry Iman Pierngadi, yang mula membimbing pasangan itu sejak hujung tahun lalu, nyata memainkan peranan besar dalam mengubah pendekatan taktikal dan mentaliti mereka di pentas besar.

Kejayaan ini membolehkan mereka membawa pulang hadiah kemenangan AS$74,000 (RM315,000), manakala pasangan Korea membawa pulang AS$35,000 (RM149,000) selaku naib juara.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi kategori beregu lelaki di kejohanan ini adalah pada tahun 2008 menerusi pasangan Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazari.