BEREGU badminton lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yakin dapat mempertahankan gelaran juara Terbuka Singapura 2026 yang bakal membuka tirai di Stadium Tertutup Singapura, Kallang, Singapura pada Selasa ini.
Aaron berkata, mereka menyertai saingan itu tahun ini dengan persiapan terbaik susulan kekecewaan yang dialami pada Malaysia Masters 2026 baru-baru ini.
“Sudah tentu kami berharap dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu dan kami datang ke sini dengan persiapan rapi.
“Kami juga tidak mahu memberikan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri dan akan mengharungi perlawanan demi perlawanan,” kata Aaron.
Gandingan nombor dua dunia itu akan memulakan kempen Terbuka Singapura 2026 dengan menentang pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo dan Toma Junior Popov pada pusingan pertama, Selasa ini.
Ditanya kemungkinan bertemu beregu nombor satu dunia, Kim Won-ho-Seo Seung-jae dalam kejohanan itu, Wooi Yik berkata, mereka akan menyesuaikan corak permainan sekiranya bertemu pasangan berkenaan.
Beliau berkata, mereka sendiri turut menjangkakan bakal bertemu pencabar dari Korea Selatan itu sekali lagi pada edisi tahun ini.
“Kami sudah banyak kali menentang mereka dan tidak banyak perbezaan yang ketara sebenarnya.
“Terdapat satu aspek penting yang perlu kami perbaiki dan kami berharap dapat menewaskan mereka di Terbuka Singapura 2026,” katanya.
Skuad Malaysia dalam kejohanan Super 750 tahun ini akan diketuai oleh Aaron-Wooi Yik yang juga juara bertahan acara beregu lelaki.
Malaysia turut memiliki pencabar utama acara beregu wanita menerusi pasangan nombor dua dunia, Pearly Tan-M Thinaah; beregu campuran menerusi pasangan nombor tiga dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; serta satu lagi beregu lelaki menerusi gandingan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.- Bernama



