Aaron-Wooi Yik mula langkah kiri hari pertama

7 Dec 2022 • 10:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aaron Chia-Soh Wooi Yik - Foto FB Badminton Association of Malaysia - BAM

JUARA dunia beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkap kempen Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok dengan langkah kiri pada Rabu.

Gandingan juara dunia itu tewas kepada beregu ranking keenam dunia dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 12-21, 15-21 di Nimibutr Arena dalam tempoh 32 minit.

Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga akur kehebatan gandingan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Naib juara Terbuka Australia tersebut tewas 19-21, 16-21 kepada beregu ranking pertama dunia dalam aksi Kumpulan A yang mengambil masa 39 minit.

Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga memulakan kempen Kumpulan A dengan akur kehebatan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia, 12-21, 15-21 dalam masa 35 minit.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur tewas 21-23, 19-21 kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking kesembilan dunia berdepan laluan mencabar apabila diundi dalam ‘kumpulan maut’ pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF kali ini.

Mereka diundi dalam Kumpulan B bersama dua wakil China iaitu juara dunia tiga kali, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan beregu nombor tujuh dunia, Zhang Shu Xian-Zheng, selain pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menyingkap cabaran Kumpulan B dengan mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dongping.

Kian Meng-Pei Jing yang kini berstatus nombor lima dunia berjaya menjinakkan gandingan nombor tiga dunia itu menerusi kemenangan rubber set 23-21, 14-21, 21-16 dalam masa 61 minit.

Kian Meng-Pei Jing diundi dalam Kumpulan B bersama dua beregu tuan rumah - Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, selain Yi Lyu-Dong Ping.

Nasib berbeza pula dialami beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin yang mengakhiri kempen hari pertama dengan kekalahan 18-21, 13-21 kepada pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dalam aksi Kumpulan A.

Selain Na Eun-Hye Jeong, Vivian-Chiew Sien diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dua beregu Thailand - Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved