Aaron-Wooi Yik Tersingkir Daripada Terbuka Malaysia

13 Jan 2023 • 7:12 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Berada pada ranking ketiga dunia, Aaron-Woi Yik tewas 10-21, 21-23 kepada wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dan mengecewakan lebih 2,000 penonton di Arena Axiata - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Beregu utama lelaki negara  Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi tidak dapat memenuhi jangkaan dan harapan selaku juara dunia selepas tersingkir dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023.

Berada pada ranking ketiga dunia, Aaron-Woi Yik tewas 10-21, 21-23 kepada wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dan mengecewakan lebih 2,000 penonton di Arena Axiata di sini semalam.

Ini merupakan kekalahan ketiga Aaron-Wooi Yik kepada beregu China itu, selepas Terbuka Indonesia 2022 Jun lepas dan Final Jelajah Dunia 2022, Disember lepas. 

“Dari set pertama kita memang mula buat banyak kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya rasa kita tahu Yu Chen adalah pemain yang handal dari dahulu lawan dengan mereka memang tidak pernah menang. 

Hari ini turun dengan tekanan, tetapi bukan alasan buat kami. Terbuka Malaysia ialah kejohanan sulung untuk tahun ini, jadi banyak harus ditambah baik sebab fokus kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas ini,” kata Aaron. 

Yu Chen-Xuan Yi akan bertemu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India di suku akhir.

Sementara itu, beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga tewas 21-16, 21-10 dalam pusingan kedua di tangan pilihan utama kejohanan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China. - Bernama