PENGALAMAN membawa Negeri Sembilan ke Liga Super menjadi bukti K Devan yakin Datuk Ab Ghani Hassan cukup berkelas untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Devan berkata, Ab Ghani bukan sekadar pengurus ketika itu, sebaliknya tonggak penting yang memastikan kebajikan, disiplin dan komitmen pemain skuad Hoben Jang Hoben sentiasa terjaga.
Menurutnya, kerjasama mereka pada 2005 dan 2006 meninggalkan kenangan manis selepas Negeri Sembilan muncul naib juara Liga Premier 2025 untuk mengesahkan tiket ke Liga Super.
“Sebagai pengurus pasukan, beliau seorang yang komited untuk mendapatkan komitmen 100 peratus daripada pemain.
“Beliau sangat rajin bekerja, mudah bergaul dan begitu rendah diri. Kami dalam pasukan sentiasa mendapat sokongan daripada beliau dan beliau sentiasa bersama kami dalam apa jua keadaan.
“Beliau juga mengambil berat kebajikan pemain serta disiplin mereka. Kualiti kepimpinan beliau memang tinggi,” katanya.
Skuad Rusa muncul naib juara selepas tewas 2-4 kepada The Red Giants dalam perlawanan akhir liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Bagi Devan, pengalaman itu cukup untuk meyakinkannya bahawa Ab Ghani memiliki pakej lengkap bagi mengemudi badan induk bola sepak negara.
Katanya, pengalaman sebagai pemain, pegawai pasukan dan pentadbir sukan memberi kelebihan kepada Ab Ghani untuk membawa perubahan di FAM.
“Saya percaya sekiranya Ab Ghani dipilih, beliau mampu membawa perubahan dan saya rasa beliau adalah individu terbaik untuk memimpin FAM kali ini,” katanya.
INFO
NEGERI SEMBILAN: Azizon Abdul Kadir, Abdul Lateef Seriki, B.Rajanikandh, Idris Karim (Chik Hishamuddin Hassan), Christian Beckamengo, Anuar Jusoh, Ching Hong Aik, K Rajan, Shahrizam Mohamed, Rezal Zambery Yahya, P Sivananthan
SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Mohd Saifu Nizam Husin (Nazzab Hidzan), Elie Aiboi (Mohd Amri Yahya), Brian Fuentes, K Sanbagamaran, D Surendran, Bambang Pamungkas, Mohd Khalid Jamlus (Harris Safwan), Mohd Shukor Adan.






