
KUALA LUMPUR – Kejayaan Negeri Sembilan muncul naib juara Liga Premier pada 2005 untuk layak ke Liga Super menjadi kenangan manis buat K. Devan yang ketika itu turut bekerjasama dengan Datuk Ab Ghani Hassan selaku pengurus pasukan.
Devan berkata, Ab Ghani yang kini calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan pasukan berjalan lancar, termasuk memberi perhatian terhadap kebajikan pemain serta aspek disiplin sepanjang mereka mengharungi saingan.
“Antara tahun 2005 dan 2006, saya jadi ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan dan waktu itu turut bekerjasama dengan Ab Ghani sebagai pengurus pasukan. Ketika itulah pasukan Negeri Sembilan berjaya layak ke Liga Super musim 2005/06.
“Saya boleh katakan ia pengalaman paling manis sekali bekerja dengan beliau bersama Negeri Sembilan. Selaku pengurus pasukan, beliau merupakan seorang yang komited untuk dapatkan komitmen 100 peratus daripada pemain apabila kita turun ke padang, sangat rajin bekerja, senang bergaul dan begitu rendah diri.
“Kami dalam pasukan sentiasa dapat sokongan daripada beliau dan selalu ada bersama kami tidak kira apa situasi. Contohnya sentiasa ambil berat kebajikan pemain, disiplin mereka dan kualiti kepimpinan beliau memang tinggi, jadi itu yang selalu kami lihat sepanjang bekerjasama,” katanya.
Dengan pengalaman tersebut, Devan percaya Ab Ghani kini mempunyai latar belakang yang cukup lengkap untuk menggalas tanggungjawab lebih besar di peringkat tertinggi bola sepak negara.
“Saya rasa posisi selaku Presiden FAM untuk pemilihan akan datang ini tepat pada masanya untuk diberikan kepada beliau berdasarkan pengalaman beliau yang cukup luas dalam bidang bola sepak. Bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, tetapi dah pernah jadi pegawai pasukan dan juga pentadbir sukan.
“Jadi saya secara peribadi berharap semuanya berjalan dengan baik untuk pemilihan Presiden FAM kali ini di mana saya percaya sekiranya Ab Ghani dipilih, beliau mampu untuk bawa perubahan dan saya rasa beliau adalah individu terbaik untuk memimpin FAM kali ini,” katanya.
Untuk rekod, FAM sebelum ini sudah pun mengeluarkan senarai lengkap calon yang kan bertanding, menyaksikan Ab Ghani akan dicabar oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar. – KOSMO! ONLINE
The post Devan kenang sumbangan Ab Ghani bersama Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Online.






