'Abah kata Haikal hero abah' - Luahan sayu kakak ipar pendaki hilang di Nepal

31 Aug 2026 • 12:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Abah kata Haikal hero abah' - Luahan sayu kakak ipar pendaki hilang di Nepal
Tangkap layar hantaran Myanaimah di platform Threads

SHAH ALAM – “Semalam kak mimpi Haikal balik dengan selamat. Masa itu banyak kali kak tanya, betul ke ini bukan mimpi? Rasa sangat nyata.”

Demikian luahan penuh emosi seorang wanita yang dikenali sebagai Myanaimah menerusi hantaran di platform Threads mengenai adik iparnya, Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, yang dilaporkan hilang selepas kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal.

Muhammad Adib Haikal, 27, merupakan seorang daripada tiga pendaki warga Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas kawasan pendakian mereka terjejas akibat bencana tersebut.

Menerusi hantaran yang turut disertakan beberapa keping gambar kenangan, Myanaimah berkongsi bahawa mimpi berkenaan terasa begitu nyata sehingga seolah-olah Adib Haikal telah pulang dan berada di hadapan keluarganya.

“Siap bawa balik macam-macam cenderamata untuk kami pilih, sama seperti sebelum ini.

“Balik tau, mak, abah, adik-beradik semua sayang sangat Haikal. Kami semua tunggu. Abah kata Haikal hero abah,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, wanita itu turut merayu agar orang ramai terus mendoakan keselamatan adik iparnya serta rakan-rakan yang masih belum ditemukan.

“Mohon semua doakan adik ipar saya, Muhammad Adib Haikal Awang Mansor dan kawan-kawannya berada dalam keadaan selamat dan baik-baik sahaja,” katanya.

Dua lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang bersama Adib Haikal ialah Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29.

Terdahulu, media melaporkan tiga rakyat Malaysia hilang selepas banjir dan tanah runtuh melanda beberapa kawasan di Nepal.

Usaha mencari dan mengesan semua mangsa kini sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved