
PETALING JAYA – “Semalam kak mimpi Haikal balik dengan selamat.”
Itu luahan rindu kakak ipar kepada Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, yang masih belum diketahui nasibnya selepas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Nepal.
Menerusi perkongsian di Threads menggunakan akaun @myanaimah, wanita itu berkata, mimpi berkenaan terasa begitu nyata sehingga dia beberapa kali bertanya kepada dirinya sama ada kepulangan adik iparnya itu benar-benar berlaku atau sekadar mimpi.
“Semalam kak mimpi Haikal balik dengan selamat, masa itu banyak kali kak tanya betul ke ini bukan mimpi, rasa real (betul) sangat.
“Siap bawa balik macam-macam cenderahati, suruh pilih, sama macam sebelum-sebelum ini,” katanya.
Menurut wanita itu, seluruh keluarga kini terus menanti kepulangan Muhammad Adib Haikal sambil berharap pemuda itu dan dua rakannya berada dalam keadaan selamat.
“Balik tau, mak, abah, adik-beradik semua sayang sangat Haikal. Kami semua tunggu. Abah kata Haikal hero abah!” katanya.
Dalam hantaran sama, dia memohon orang ramai agar terus mendoakan keselamatan adik iparnya serta dua lagi rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
“Mohon semua doakan adik ipar saya Muhammad Adib Haikal bin Awang Mansor dan kawan-kawannya dalam keadaan selamat dan baik-baik sahaja ya,” katanya.
Muhammad Adib Haikal bersama Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir Nepal: Kakak mimpi Adib Haikal balik bawa cenderahati appeared first on Kosmo Digital.



