'Abah & mak tetap orang tua saya' - Zizi Kirana kongsi momen bersama keluarga bekas suami, netizen puji contoh baik menantu-mentua

LocalFamily & Parenting
8 Apr 2026 • 10:51 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KISAH perceraian dalam kalangan selebriti sering menjadi tumpuan.

Namun, bukan semua cerita berakhir dengan konflik atau rasa marah. Penyanyi Zizi Kirana contohnya membuktikan kasih sayang dan hormat tetap boleh wujud walau jalan hidup berubah.

Baru-baru ini, pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil memuat naik sekeping gambar di platform Threads, memaparkan detik manis bersama keluarga bekas suaminya, Yusuf Bahrin.

Dalam kapsyen ringkas namun penuh makna, Zizi menitipkan doa agar hubungan menantu dan mentua terus diberkati.

image is not available

“Semoga ALLAH memelihara kebaikan antara kita dan menurunkan keberkatan dalam setiap kenangan,” tulisnya.

Tak cukup sekadar perkongsian gambar, Zizi juga menyempatkan diri membalas komen aktivis kemanusiaan, Musa Nuwayri, yang mengingatkan bahawa hubungan menantu-mentua mempunyai nilai yang unik dan kekal.

image is not available

“Apapun berlaku, hubungan menantu mertua kekal buat selamanya,” kata Musa.

“Abah dan mak tetap menjadi orang tua saya sampai bila-bila,” balas Zizi ringkas, menyentuh hati ramai yang membaca.

Ruangan komen pula dipenuhi doa dan kata-kata penghargaan daripada netizen. Ada yang memuji ketabahan Zizi, ada juga yang terinspirasi dengan sikap positifnya terhadap keluarga bekas suami.

“Semoga baik-baik sahaja buat Zizi and Yusuf. Tak ada jodoh bukan bermakna kita membenci orang tua beliau kan. Terima kasih jadi contoh yang baik. Semoga ALLAH selalu menjaga kamu. Amin Yaa Rab.”

“Walau jalan hidup berubah, kasih tetap tidak terpisah, insya-ALLAH kekal hingga syurga. Mereka tetap mahram, selamanya.”

“Tq Zizi menjadi inspirasi dan bawa contoh tauladan yang baik.”

Talak satu

Sejarah kisah cinta mereka turut menjadi perhatian. Yusuf dan Zizi berkahwin pada September 2021 dan sepanjang perkahwinan, pasangan tersebut belum dikurniakan cahaya mata.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling mengesahkan perceraian talak satu secara raj’ie yang difailkan Zizi mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Spekulasi mengenai rumah tangga mereka muncul selepas mereka dilihat menyambut Aidilfitri secara berasingan, namun kini Zizi membuktikan bahawa berpisah bukan bermakna musuh atau dendam.

image is not available

Sebaliknya, ia peluang mengekalkan hubungan baik demi hormat, kasih sayang, dan keberkatan dalam hidup.

Sebagai nasihat kepada pembaca, Zizi Kirana memberi contoh bahawa perpisahan tidak harus meruntuhkan nilai silaturahim.

Kadangkala, menjaga hati dan hubungan baik dengan keluarga bekas pasangan lebih berharga daripada kemenangan emosi sementara.

“Hubungan yang baik tidak diukur dari status perkahwinan, tapi dari sejauh mana kita menjaga kasih sayang dan hormat antara satu sama lain,” pesannya.

Dari kisah Zizi, jelas bahawa kesederhanaan, doa dan sikap positif mampu mengubah perspektif perpisahan menjadi inspirasi. Hidup mungkin berubah, tetapi nilai murni kekal abadi.