
PENYANYI baharu Hussain muncul juara Big Stage X Rocketfuel mengalahkan enam finalis.
Diumumkan sebagai pemenang dan mendapat undian dalam talian tertinggi, sepupu kepada penyanyi Zaki Yamani itu sempat sujud syukur di atas pentas.
“Terima kasih kepada semua peminat yang dah undi dan sokong saya dari Talk To My Manager lagi.
“Abah, saya berjaya bah,” luah Hussain.
Dalam konsert peringkat akhir itu, Hussain telah menyampaikan lagu bapa saudaranya, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah iaitu Seniman Menangis.
Berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini, keputusan juara Big Stage X Rocketfuel tidak ditentukan sepenuhnya berdasarkan markah juri sebaliknya turut mengambil kira undian penonton.

Kemenangan tersebut menyaksikan Hussain menewaskan lima lagi finalis lain iaitu Adam Nazmie, Ranisha, Danny, Yad-Z dan Danial Kifli.
Hasil kemenangan tersebut, Hussain telah berjaya membawa pulang wang tunai RM30,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, selain peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM100,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.
Pemenang tempat kedua disandang oleh Adam Nazmie yang membawa pulang wang tunai RM20,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM50,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.

Manakala Ranisha berada di tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM10,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM50,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.
Tempat keempat dimenangi Danny, disusuli Yad-Z ri tempat kelima manakala Danial Kifli di tempat keenam dengan masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 dan RM3,000 berserta trofi.
Sekadar info, Hussain ialah anak kepada penyanyi era 80-an yang juga peserta Bintang RTM 1985, Jamilul Hayat.
Sumber: Astro Awani






