
PETALING JAYA: Memiliki seribu satu impian untuk menampilkan persembahan pentas kelihatan lebih gah, penyanyi Wanie Kayrie berpegang pada prinsip ukur baju di badan sendiri untuk lagu yang dipertaruhkannya di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), Cak Cak Cekuk.
Wanie atau Syazwani Abdullah, 26, tidak menolak bahawa dia memiliki hasrat untuk melakukan pelbagai gimik dan perancangan yang lebih besar buat persembahannya itu.
Namun, Wanie memilih untuk berpijak di bumi nyata dengan memaksimumkan bajet yang ada menerusi pembabitan 51 tenaga persembahan di atas pentas pada Sabtu lalu.
“Jumlah keseluruhan menjayakan persembahan semalam melibatkan 27 ‘human graphic’, 10 penari remaja wanita, 10 remaja lelaki, 10 cilik wanita dan empat cilik lelaki. Kalau boleh, saya memang mahu buat macam-macam lagi tapi dalam setiap keinginan, kita mesti belajar untuk ukur baju di badan sendiri.
“Tapi sejujurnya, saya sangat berbangga dengan usaha keras mereka walaupun latihan hanya dijalankan dalam tempoh lima hari sahaja.
”Terima kasih di atas komen positif anda dan semua yang terlibat di sebalik tabir persembahan ini, anda hebat,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Mengimbas persembahannya, memulakan saingan sebagai peserta kedua selepas Aisha Retno, Wanie Kayrie gah dengan busananya berona merah jambu tampil menyampaikan lagu Cak Cekuk karya ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.
Sebelum ini, lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala lirik ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) sekali gus membawa pulang teori AJL serta wang tunai sebanyak RM100,000.
Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno yang membawakan lagu Tak Adil sambil menyaksikan penyanyi ini membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM50,000.
Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Reynauld Guntabid menerusi lagu Lumangad Oku Dika yang meraih wang tunai berjumlah RM30,000 serta trofi.
The post Impi persembahan pentas gah, ukur baju di badan sendiri – Wani Kayrie appeared first on Utusan Malaysia.






