KLANG - Hanya kerana mengabaikan kata-kata, seorang lelaki cedera diserang sekumpulan individu bersenjata tajam di sebuah kedai makan di Kapar, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika pengadu sedang makan bersama dua rakannya.
Menurutnya, pengadu kemudian didatangi empat lelaki.
"Perselisihan faham dipercayai bermula apabila pengadu mengabaikan kata-kata kumpulan suspek tersebut sehingga mengakibatkan salah seorang suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menghayunkannya ke arah rakan pengadu.
"Serangan tersebut menyebabkan kecederaan pada muka dan dada mangsa," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebelum beredar, kumpulan suspek turut mengeluarkan ugutan jenayah untuk menembak pengadu dalam masa terdekat.
Katanya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Tegasnya, bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan berjaya ditahan secara berasingan pada hari kejadian dan Selasa sebelum direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Salah seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan tiga rekod dadah," ujarnya.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Dayang Siti Aishah Awang Ramli di talian 010-5825382.


