Abai Zayn Rayyan, Ismanira Dipenjara Lima Tahun – Mahkamah

LocalPolitics
31 Oct 2025 • 12:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Abai Zayn Rayyan, Ismanira Dipenjara Lima Tahun – Mahkamah

PETALING JAYA, 31 Okt (Bernama) — Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000.

Ismanira turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 21 Julai lepas, Hakim Syahliza memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.