
KUALA LUMPUR – Kisah seorang pemuda Cina yang terkandas di tengah malam selepas motosikalnya rosak benar-benar menyentuh hati rakyat Malaysia, apabila dibantu seorang mekanik yang sanggup datang walaupun sudah lewat malam.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, pemuda berkenaan berdepan detik sukar apabila motosikalnya mengalami kerosakan serius di bahagian spoket dan rantai. Lebih menyedihkan, beberapa mekanik yang dihubungi bukan sahaja enggan membantu, malah ada yang terus menyekat nombor telefonnya.
“Tolong saya bang, rantai motor putus, spoket depan pula hilang… saya call ramai pomen tapi semua tak nak layan,” luahnya dalam keadaan terdesak.
Panggilan Kecemasan Jam 12.30 Malam
Harapan kembali muncul apabila dia berjaya menghubungi seorang mekanik dikenali sebagai “Minyak Hitam Jalanan” sekitar jam 12.30 malam.
Menurut mekanik itu, dia pada awalnya baru sahaja pulang ke rumah kerana hujan lebat di kawasan Taman Kota Damansara, sebelum menerima panggilan kecemasan daripada lelaki berkenaan yang mendakwa menemui nombor telefonnya melalui TikTok.
“Dia kata dia dah buntu… hubungi pomen lain semua tak mahu datang. Lokasi pula tak jauh, jadi saya kuatkan hati untuk bantu walaupun dah lewat malam,” katanya.
“Saya Ada RM80 Sahaja Bang…”
Sebelum memulakan kerja, mekanik tersebut menetapkan caj RM145 merangkumi kos alat ganti (spoket dan rantai) serta upah kerja pada waktu malam.
Namun, lelaki itu memaklumkan dia hanya mempunyai RM80 sahaja.
“Saya beritahu tak boleh sebab itu memang caj kerja tengah malam. Akhirnya dia setuju juga sebab dah tak tahu nak buat apa,” jelasnya.
Tersentuh Hati, Terus Halalkan Semua
Selepas kerja pembaikan siap, mekanik itu mendapati lelaki berkenaan terpaksa meminjam wang daripada rakannya untuk mencukupkan bayaran.
Lebih meruntun jiwa, baki duit yang ada padanya dilihat hanya cukup-cukup untuk kelangsungan hidup.
Tanpa berfikir panjang, mekanik tersebut membuat keputusan untuk tidak mengambil bayaran tersebut.
“Bila tengok keadaan dia, saya terus tanya… ‘abang ada RM176 je… nanti ada duit makan? Tak payah bayar la bang.’”
“Saya guna duit infak untuk tanggung kos. Masa dia peluk saya… hanya Tuhan saja tahu perasaan tu. Saya pun tak dapat tahan dan terus menangis,” katanya dalam nada sebak.
Ini Bukan Pasal Motor, Ini Pasal Manusia
Video kejadian tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai. Rata-rata netizen meluahkan rasa tersentuh melihat keikhlasan yang ditunjukkan kedua-dua individu berkenaan.
Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna @zfqsri, dia memuji tindakan mekanik tersebut dan menyifatkan kedua-duanya sebagai insan berhati mulia.
Lebih menyentuh hati, pemuda itu difahamkan bercadang untuk mencari semula mekanik berkenaan bagi membayar semula wang tersebut selepas menerima sumbangan daripada orang ramai.
Semangat Rakyat Malaysia Sebenar
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyifatkan kisah ini sebagai bukti bahawa rakyat Malaysia masih bersatu tanpa mengira kaum dan agama.
Ada yang menyentuh latar belakang pemuda itu yang dipercayai berasal dari Sabah dan sedang berjuang mencari rezeki di ibu kota.
“Mana yang kata Malaysia guna tiket perkauman? Tengok ni… kita semua rakyat Malaysia. Tolong sama tolong,” tulis seorang pengguna.
Kisah ini membuktikan bahawa nilai kemanusiaan masih wujud dalam masyarakat hari ini.
Bukan sekadar kisah motosikal rosak… tetapi tentang keikhlasan, empati dan rasa peduli sesama insan. Inilah Malaysia sebenar, kita jaga kita. – The Malaysian Update
The post “Abang Ada RM176 Je… Nanti Ada Duit Makan?” – Pomen Tolak Bayaran, Sanggup Guna Duit Infak Bantu ‘Brother Cina’, Sentuh Hati Rakyat Malaysia appeared first on The Malaysian Update.
