
SHAH ALAM - Seorang pegawai bomba bakal melaksanakan projek pendakian amal ke Gunung Everest secara solo dan sukarela tahun depan bagi menambah sumber kewangan Tabung Kebajikan Anggota Bomba.
Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 42, berkata, usaha tersebut dibuat menerusi projek Mencari Hati Emas yang dimulakan sejak empat tahun lalu dan kali ini menyasarkan kutipan sebanyak RM100,000.
Menurut bekas jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah itu, dia tidak akan menggunakan wang kerajaan mahupun mengutip derma daripada orang awam, sebaliknya hanya mengambil cuti tanpa gaji.
**media[2756692]**
"Hari ini dalam sejarah apabila projek pendakian amal Bomba de Everest Mencari Hati Emas yang bertahun lamanya tertunggak, kini secara rasminya bermula gerak kerja dan perancangan.
"Insya-ALLAH sekiranya tiada aral melintang, tahun depan saya akan lakukan pendakian amal yang bukan sekadar untuk mencapai impian, tetapi lebih kepada membantu golongan kurang bernasib baik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pendaki berpengalaman selama 20 tahun di dalam dan luar negara itu memaklumkan, projek berkenaan merupakan cetusan ilhamnya dengan kerjasama penganjur iaitu Kelab Kembara Kosmopolitan serta Summit Attack Resources (SAR) serta mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"la bertujuan membantu anggota (bomba) yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas serta mereka masih dalam perkhidmatan," ujarnya.
Justeru, katanya, jawatankuasa projek pendakian gunung setinggi 8,848 meter tersebut sedang menggerakkan jualan amal alat pemadam api keluaran khas beserta barangan kombo bagi mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.
**media[2757294]**
"Antaranya, alat pemadam api satu kilogram (kg), baju-T eksklusif dan topi tahan lasak.
"Objektif utama jualan ini bertujuan mendidik masyarakat tentang pentingnya untuk cakna dan bersedia dengan alat pemadam api agar dapat menurunkan statistik kebakaran sama ada melibatkan kediaman atau kenderaan.
"Semoga dengan sokongan orang ramai terhadap jualan amal ini dapat merealisasikan projek dan mencapai matlamat," jelasnya lagi.

