MELAKA - Tindakan berani seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang cuba menyelamatkan adiknya berakhir tragedi apabila dia lemas dihanyutkan arus deras di parit di Taman Ayer Keroh Heights di sini pada petang Isnin.
Dalam kejadian jam 5.51 petang itu, mangsa, Muhammad Loqman Afandi dipercayai cuba membantu adiknya, Muhammad Adam Afandi, 10, yang dihanyutkan arus ketika bermain air bersama dua rakan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama adik dan dua lagi rakan berusia 10 tahun bermain di kawasan longkang berhampiran rumah mereka ketika hujan renyai.
Menurutnya, arus air yang deras menyebabkan Muhammad Adam dihanyutkan air.
“Melihat kejadian itu, mangsa bersama seorang lagi rakan bertindak cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut, namun mereka turut dihanyutkan arus.
“Bagaimanapun, adik dan rakannya berjaya menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, jiran berkenaan membuat panggilan kecemasan bagi melaporkan kejadian tersebut dan turut membantu mendapatkan bantuan awal di lokasi.
“Pasukan bomba telah tiba di lokasi kejadian pada lebih kurang jam 6.10 petang dan mangsa berjaya ditemui dalam keadaan tidak sedar diri oleh pihak bomba selepas anggaran 20 minit operasi dijalankan.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.09 malam,” katanya.
Katanya, setakat ini tiada undur jenayah dikesan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


