
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Bhd (PPB) berkaitan cadangan pelaburan Tabung Haji bernilai RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan pada 2014.
Abdul Azeez, 60, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
“Saya faham. Kenyataan itu sama sekali tidak benar dan saya mahu dibicarakan,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu serta tangan bergari ketika berada di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez yang ketika itu merupakan Pengerusi Tabung Haji didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh manfaat berupa jawatan Pengerusi PPB.
Jawatan berkenaan menawarkan imbuhan tahunan sebanyak RM690,000, selain sebuah kereta BMW 7 Series serta pemandu tetap.
Abdul Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, supaya mencadangkan namanya sebagai wakil Tabung Haji dalam PPB.
Beliau turut didakwa memujuk anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji supaya meluluskan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam PPB, bersamaan sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitan sedia ada syarikat itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Lembaga Tabung Haji di ibu pejabatnya di Jalan Tun Razak di sini pada 25 Ogos 2014.
Abdul Azeez didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Law Chin How dan Atirah Mohd Azuarizanuddin.
Abdul Azeez diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Beliau sebelum ini direman selama tujuh hari dari 27 Ogos hingga 2 September lalu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.
Siasatan itu susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji. - Getaran, 9 September 2026




![[VIDEO] Selesai bayar jamin RM450,000, Azeez Rahim masih dalam tahanan sehingga esok](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/5a43c9a0-d0c1-4258-b968-d3e56d1786b1-1024x682.jpeg)
