
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang selesai menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH, dijangka menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) malam ini.
Abdul Azeez, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dibebaskan kira-kira pukul 3 petang selepas tempoh reman selama dua hari berakhir.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad, yang memaklumkan keadaan Abdul Azeez baik dan beliau teruja untuk hadir ke PAU yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Keadaan beliau baik dan sangat teruja untuk menghadiri PAU malam ini,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, Abdul Azeez memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang tempoh itu.
“Setakat ini, kita tidak dimaklumkan apa tindakan oleh pihak polis seterusnya. Jadi, kita tumpu pada PAU malam ini,” jelasnya.
Mahkamah Majistret sebelum ini menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman Abdul Azeez selama tiga hari lagi.
Pembebasan itu bermakna Abdul Azeez tidak lagi berada dalam tahanan reman dan boleh menjalankan urusan seperti biasa, tertakluk kepada sebarang syarat atau arahan mahkamah yang berkuat kuasa.
Abdul Azeez sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penipuan membabitkan pemberian hibah TH.
Selain siasatan berkenaan, bekas Ahli Parlimen Baling itu turut berdepan pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN
The post Abdul Azeez tamat reman jangka hadir PAU malam ini appeared first on Utusan Malaysia.






