
PETALING JAYA – Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz, 59, dilahirkan pada 19 Februari 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau mula menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995 dan sepanjang lebih tiga dekad perkhidmatannya, pernah ditempatkan di pelbagai jabatan.
Antaranya termasuk Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Beliau turut memegang beberapa jawatan strategik dalam PDRM, termasuk Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber serta Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.
Dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan kepakaran, Abdul Aziz turut menghadiri pelbagai kursus dan seminar di dalam serta luar negara, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Intelligence Management Development Programme di Australia.
Saifuddin berkata, Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Abdul Aziz atas pelantikan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Abdul Aziz dilantik Timbalan Ketua Polis Negara appeared first on Kosmo Online.


