Abdul Hadi impi Kuala Balah jadi bandar baharu

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Abdul Hadi impi Kuala Balah jadi bandar baharu

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah di Jeli, Kelantan mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bandar baharu pada masa hadapan yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian berskala besar selain memiliki sebuah pusat pengajian tinggi.

Tiga projek berimpak tinggi itu menjadi agenda utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, bagi melonjakkan pembangunan ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk kawasan berkenaan.

“Pada masa ini tidak ada sebuah pun bandar dalam DUN Kuala Balah. Justeru, kita mahu menaik taraf Pekan Kuala Balah menjadi sebuah bandar dengan kemudahan infrastruktur, balai bomba, bank, pejabat pos, stesen minyak, gerai makanan dan lain-lain yang memberi kemudahan kepada rakyat.

Image from: Abdul Hadi impi Kuala Balah jadi bandar baharu

“Jika perancangan ini dibuat dengan berkesan, sebuah bandar baharu dapat dibangunkan berasaskan kepada kerangka Penghayatan Membangun Bersama Islam yang menjadi matlamat asas Kerajaan Negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Abdul Hadi memberitahu, projek kedua adalah membangunkan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Produk Pertanian berskala besar bagi tujuan pemasaran serta pengeluaran produk dan bahan mentah industri hiliran.

Katanya, pusat berkenaan boleh menjadi platform untuk memperluas pasaran hasil pertanian seperti jagung, sayur-sayuran dan buah-buahan selain produk tempatan termasuk sambal pijat, ikan pekasam sungai, jeruk salak dan tempoyak.

“Cara ini boleh meningkatkan keluaran berasaskan pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” ujarnya.

Projek ketiga, katanya, membina sekurang-kurangnya sebuah pusat pengajian tinggi di DUN Kuala Balah yang diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan.

“Usaha ini akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi tempatan sekali gus memberi peluang kepada pelajar berkelayakan menuntut ilmu dengan lebih selesa tanpa perlu merantau jauh,” katanya.

PERTANIAN  AGRO-PELANCONGAN JADI TARUHAN

Pembangunan Kuala Balah perlu memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan pelancongan berdasarkan kelebihan geografi kawasan itu yang didominasi kawasan berbukit, hutan dan tanah tinggi.

Kata Abdul Hadi, Banjaran Titiwangsa turut mempengaruhi bentuk muka bumi Kuala Balah, manakala Sungai Pergau, Sungai Renyuk dan Sungai Balah membentuk sistem ekologi serta ekonomi kawasan Jeli.

“Kelebihan strategik Kuala Balah adalah mempunyai kawasan tanah yang sangat luas, memberi ruang untuk pembangunan pertanian, agroekonomi dan industri berasaskan sumber. Sistem sungai dan kawasan pertanian pula boleh dikembangkan kepada agro-pelancongan dan ekonomi desa,” katanya.

Menurutnya, pembangunan jalan, agroekonomi, pelancongan alam, keusahawanan dan kemudahan asas perlu dirancang secara bersepadu bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi kawasan berkenaan.

Image from: Abdul Hadi impi Kuala Balah jadi bandar baharu

Beliau berkata, DUN Kuala Balah juga mempunyai kelebihan menerusi kewujudan sebahagian besar ladang milikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), termasuk Ladang Lubuk Bongor, Ladang Kuala Balah dan Ladang Tapis.

Katanya, sebuah kilang sawit terbesar, iaitu Kilang Sawit Tapis milikan Syarikat Ladang Sungai Terah, turut berada di kawasan itu.

“Keberadaan ladang-ladang dan kilang sawit ini memberi impak yang besar kepada peluang pekerjaan dan pemangkin ekonomi tempatan,” katanya.

DESTINASI EKO-PELANCONGAN

Dalam sektor pelancongan pula, Abdul Hadi berkata, Kuala Balah mempunyai banyak lokasi rekreasi yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negeri.

Antaranya, Pusat Rekreasi Dataran Rakit Sungai Dendong dan Pusat Mendulang Emas Kampung Lalat di Mukim Batu Melintang; Lata Kashmir, Lata Mawa dan Dataran Sungai Belimbing di Mukim Pendok.

Selain itu, katanya, terdapat Lata Janggut, Lata Hokkaido dan Lata Cuit di Mukim Sungai Long serta Lata Renyut yang terkenal dengan Pusat Rekreasi Cahaya Iman di Mukim Reka.

“Di Mukim Kubur Datu, kita telah bangunkan wakaf-wakaf dan dewan untuk kemudahan pengunjung di Dataran Sungai Kubur Datu.

“Di Bukit Selar pula kita ada Lata Chenai, manakala di Mukim Kuala Balah sendiri terdapat Dataran Sungai Balah yang menjadi pilihan Program 4×4 International Jamboree dan menarik penyertaan pelancong luar negara,” katanya.

AIR BERSIH TERUS JADI KEUTAMAAN

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, pembangunan Kuala Balah perlu bergerak seiring dengan penyelesaian isu kemudahan asas, khususnya bekalan air bersih.

Katanya, walaupun tidak semua mukim mendapat bekalan air daripada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pihaknya berusaha membantu penduduk menerusi penyediaan paip jenis poli bagi menyalurkan sumber air graviti ke rumah.

“Saya telah bawa isu bekalan air untuk perhatian kerajaan dalam Sidang Dewan Negeri.

“Tahun lepas kita telah peruntukan lebih RM50,000 untuk baik pulih paip-paip poli di sekitar Mukim Pendok, Batu Melintang, Sungai Long, Reka dan Kuala Balah. Tahun ini juga kita masih membekalkan paip poli kepada mukim yang menghadapi masalah air

melalui penghulu masing-masing,” terangnya.

BELIA DIGALAK CIPTA PEKERJAAN

Dalam usaha memastikan generasi muda tidak berhijrah ke bandar, Abdul Hadi berkata, golongan itu digalakkan mencipta peluang pekerjaan sendiri menerusi bidang yang sesuai dengan minat dan kebolehan masing-masing.

Katanya, peruntukan melalui Exco Pembangunan Usahawan serta peruntukan DUN disalurkan setiap tahun bagi merealisasikan Projek Bina Usahawan.

“Dengan usaha ini, anak-anak muda akan mencipta pekerjaan di kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai bantuan telah disalurkan termasuk gerai perniagaan, mesin tebu, mesin pertanian seperti mesin rumput dan pam racun, selain peralatan bagi projek sarung longkang, sarung bata, bengkel motosikal dan kereta serta mesin jahit.-UTUSAN

The post Abdul Hadi impi Kuala Balah jadi bandar baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved