
ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu selepas pembentukan kerajaan negeri susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Pelantikan Zahari disahkan menerusi majlis angkat sumpah yang berlangsung dalam Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencadangkan nama Zahari, manakala cadangan itu disokong ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Onn Hafiz berkata, pemilihan Zahari dibuat selepas mengambil kira pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam.
“Beliau memulakan karier sebagai guru sebelum berkhidmat sebagai pegawai kepada Menteri Kesihatan, kemudian dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan seterusnya menjadi ADUN Buloh Kasap sejak 2018.
“Beliau juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri dari 2022 hingga 2026.
“Saya yakin pengalaman beliau dalam pentadbiran di peringkat negara dan negeri membolehkan beliau memimpin Sidang DUN Johor ke-16 dengan penuh matang dan berwibawa,” katanya.
Sementara itu, Zahari mengucapkan terima kasih kepada Onn Hafiz serta semua ADUN Johor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Ini satu penghormatan dan amanah yang besar. Saya akan melaksanakan sebaik-baik tanggungjawab ini.
“Pada masa sama, saya juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Speaker DUN Johor, Datuk Mohd. Puad Zarkashi dan bekas Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Zahari dilantik Speaker DUN Johor baharu appeared first on Kosmo Digital.





