Abdul Halim Aman Dilantik Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu

LocalPolitics
25 Apr 2026 • 10:36 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Abdul Halim Aman Dilantik Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.

Pelantikan beliau diumum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Sabtu (25 April) menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook.

Jelas Shamsul Azri, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan itu.

“Semalam (24 April) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mempersembahkan cadangan pelantikan itu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) YDPA telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai KP SPRM yang baharu.”

Jelas beliau, kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, Abdul Halim mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus dan meningkatkan keyakinan rakyat.

Selain itu pelantikan ini juga akan memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.

Kenali KP SPRM Baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman

Sebagai info, Abdul Halim merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau yang dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka memiliki pengalaman yang luas dalam sistem perundangan negara khususnya kes-kes jenayah.

Sebelum berkhidmat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, beliau merupakan hakim di Pulau Pinang (2009) dan Johor pada 2010.

BACA ARTIKEL UTAMA: Ini Profil Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu, Abdul Halim Aman

Antara kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikan beliau adalah pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abdul Hanan Alang Endut.

Selain itu beliau juga pernah mengendalikan kes rayuan sabitan terhadap ahli politik dan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina Sultan Selangor.

Terdahulu Sultan Ibrahim bertitah baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.

Titah baginda lagi, jawatan itu amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ketika Tan Sri Azam Baki masih mengetuai SPRM namun beliau bakal menamatkan perkhidmatannya pada 12 Mei ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: YDPA Akan Tentukan Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu

View Original Article