SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu hadir dengan satu harapan besar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bukan sekadar meneruskan peranan, sebaliknya menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ia memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berwibawa.
Muhyiddin menegaskan bahawa tanggungjawab tersebut menuntut keberanian moral yang tinggi untuk bertindak tanpa gentar, pilih kasih mahupun tunduk kepada sebarang tekanan politik atau kepentingan tertentu.
"SPRM tidak boleh sama sekali dilihat apatah lagi dijadikan alat mana-mana pihak.
"Rakyat sedang memerhati. Mereka mahukan SPRM yang tegas, telus dan konsisten bertindak berlandaskan undang-undang, menjunjung keadilan serta tidak berkompromi dalam memerangi rasuah di semua peringkat.
"Inilah masanya untuk membuktikan bahawa SPRM benar-benar bebas bukan hanya pada nama, tetapi pada tindakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuatkuasa pada 13 Mei depan.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontraknya pada 12 Mei.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan itu selepas cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Menurut beliau, ia selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.






