
Abdul Halim Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi satu kenyataan berkata bahawa pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu berkuat kuasa pada 13 Mei.
"Saya ingin memaklumkan bahawa pada semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkuatkuasa pada 13 Mei 2026," katanya menerusi satu kenyataan.
Artikel berkaitan:
YDP Agong Akan Tentukan Calon Baharu Terajui SPRM
Senarai Nama Calon KP SPRM Telah Dipersembah Kepada Agong - PM Anwar
Tambahnya lagi, kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, Abdul Halim mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.






