
ANUGERAH Seni Negeri Sabah (ASN) 2025 yang berlangsung Sabtu lalu menjadi platform tertinggi bagi mengiktiraf jasa seniman, budayawan, penggiat seni, organisasi dan institusi yang memartabatkan seni budaya negeri ini hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dengan dukungan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) itu disempurnakan oleh Menteri KePKAS Datuk Seri Christina Liew di Hotel Horizon di Kota Kinabalu.
Aktivis seni bebas dari Tenom Abdul Karim Gulam, 68, diumumkan sebagai Tokoh Seni Negeri Sabah 2025 iaitu anugerah tertinggi pada malam penuh gilang-gemilang itu.
Gelaran terbabit hadir bersama warkah penghargaan, wang tunai RM9,000 serta trofi.
Abdul Karim yang aktif sejak 1979 dikenali melalui penulisan skrip dan teater selain pernah berkhidmat sebagai Penasihat Kelab Anak Teater Sabah.
Bagi kategori lain Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Anugerah Pendukung Seni Negeri 2025 (Agensi Kerajaan/Korporat) manakala Persatuan SEAMEX Sabah dipilih sebagai Pendukung Seni 2025 bagi Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Kedua-duanya membawa pulang warkah penghargaan, wang tunai RM3,000 serta trofi, masing-masing.
Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM) turut menerima pengiktirafan sebagai Pendukung Seni Negeri Sabah 2025 (Media) dengan hadiah yang sama.
Untuk Anugerah Khas kategori Senior dimenangi oleh Kumpulan The Male-Efficient manakala kategori Junior diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau.
Kedua-duanya menerima warkah penghargaan, wang tunai RM4,000 serta trofi.
Lebih bermakna KePKAS tahun ini menambah nilai keseluruhan hadiah sebanyak RM20,000 sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem seni budaya yang progresif, inklusif dan lestari.
Ucapan aluan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN Mohd Radzi Omar yang mewakili Ketua Pengarah JKKN.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Setiausaha Tetap KePKAS Datuk Josie Lai, Pengarah JKKN Sabah Marina Abu Bakar dan Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya JKKN Saifulkhairi Ahmad.
ASN 2025 turut menegaskan bahawa seni budaya adalah arkib hidup peradaban dan simbol identiti masyarakat majmuk Sabah seiring gagasan Malaysia Madani dan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
Seni bukan sahaja warisan turun-temurun tetapi aset strategik negara dalam memperkukuh industri kreatif, diplomasi budaya dan sektor pelancongan.
Acara turut diserikan dengan persembahan khas menggabungkan nyanyian, muzik dan tarian oleh Jane Anastasia Ann Yali, Effah Hazierah Azamain, Kumpulan Perantisan Muzik Sekafi serta Kumpulan Kesenian JKKN Sabah, memperlihatkan harmoni antara tradisi dan inovasi seni moden.



