Dompok dinobat Tokoh Orang Asal Terbilang 2025

LocalPolitics
22 Sep 2025 • 4:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tenom: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Giluk Dompok diumumkan sebagai Tokoh Orang Asal Terbilang 2025 sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang dianjurkan Momogun National Congress (MNC) yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Murut Sabah pada Sabtu lalu.

Anugerah tertinggi itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut.

Ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah berkenaan Datuk Ewon berkata pengiktirafan yang diberikan kepada Tan Sri Bernard Dompok serta tokoh-tokoh lain membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan masyarakat Orang Asal dalam mempertahankan adat, bahasa dan budaya sentiasa dihargai.

“Tokoh-tokoh ini adalah inspirasi kepada generasi muda untuk terus mempertahankan identiti budaya serta mengambil bahagian dalam pembangunan negara.

“Orang Asal bukan sahaja pewaris tradisi malah penyumbang penting kepada pembangunan sosioekonomi Sabah dan Malaysia,” katanya.

Anugerah Tokoh Orang Asal Terbilang yang diterima Bernard Dompok mengiktiraf peranan beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah, Menteri Persekutuan, Duta Besar Malaysia ke Vatican serta Presiden Momogun National Congress (MNC).

Selain beliau seramai 11 lagi tokoh turut menerima penghargaan antaranya (Nuar @ Salamat Jahimi - Pengerusi Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Patikang Laut Keningau), (Simun J Rugag – Presiden Persatuan Dayak Okolod Sabah, Sarawak dan Labuan), (Egbert Manjin - Presiden Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah), (Ansom Putiang - Presiden Persatuan Murut Tahol Sabah), (Petrus Anak Sigar - Pengerusi Persatuan Usahawan Orang Asal Sabah), (Sinimpong Ganjau - Persatuan Etnik Murut Kolor).

(Junik Bajit - Presiden Persatuan Etnik Murut Timugon Sabah), (Datuk Tamin Lumaing - Timbalan Presiden Persatuan Murut Sabah), (Datuk Seri Sahran Untai - Presiden Persatuan Adat Gabungan Bangsa TidungNegeri Sabah), (OKK Amir Datuk Arif - Bekas Presiden Dusun Kujau Sabah), Pediman Jabau – Timbalan Presiden I MNC Dan ahli majlis tertinggi Persatuan Suang Lotud Sabah).

Penganugerahan ini bukan sekadar penghormatan tetapi sebagai dorongan kepada generasi muda Orang Asal untuk mencontohi semangat juang dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu.

Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2025 itu diisi dengan pelbagai acara kebudayaan termasuk persembahan tarian tradisional, pameran kraftangan, forum komuniti serta pelancaran program memupuk perpaduan melalui kebudayaan anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tenom.

Majlis penganugerahan turut dihadiri pemimpin masyarakat, wakil NGO, pemimpin akar umbi serta masyarakat setempat yang bersama-sama meraikan sumbangan tokoh-tokoh Orang Asal Sabah dan Labuan.