
TANAH MERAH: Felda Kemahang, tanah rancangan yang wujud sejak 1970-an di sini, memerlukan beberapa penambahbaikan termasuk penyelesaian isu perumahan generasi kedua dan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan itu.
Masalah perumahan generasi kedua menjadi rumit di Felda Kemahang berikutan isu tanah di kawasan itu yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang Mazli Mustafa (gambar) berkata beliau akan memperjuang kedua-dua perkara jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
“Kalau diberi peluang untuk menerajui DUN Kemahang dan BN serta rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) dipilih menerajui pentadbiran negeri, insya-Allah kita akan ikhtiarkan supaya generasi kedua mempunyai tempat kediaman yang lebih baik untuk berteduh,“ katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mazli, atau lebih mesra disapa Abe Jek, berkata rata-rata generasi kedua ketika ini tinggal bersama ibu bapa mereka atau menyewa rumah di sekitar kawasan Felda itu.
“Difahamkan projek pembinaan rumah untuk generasi kedua di Felda ini telah diluluskan namun tiada pembinaan dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Ketika ini, BN dan PH sedang menerajui Kerajaan Persekutuan, oleh itu harapan untuk memastikan projek pembinaan itu kembali bergerak amat tinggi,“ katanya sambil menambah Felda Kemahang 1, Felda Kemahang 2 dan Felda Kemahang 3 dianggarkan mempunyai lebih 1,000 ketua isi rumah.
Generasi kedua Felda, Siti Nur Ain Ismail, 32, pula berkata enam daripada 12 adik-beradiknya masih tinggal bersama ibu bapa mereka.
Beliau berkata setiap keluarga peneroka di kawasan itu mempunyai minimum lima anak dan rata-rata anak peneroka bekerja di kawasan tanah rancangan serta tinggal bersama keluarga.
“Kami nak mohon supaya kerajaan beri perhatian kepada perkara ini supaya wujud tempat tinggal yang lebih kondusif kepada generasi kedua Felda,” katanya.
Pada PRN kali ini, Abe Jek berhadapan calon PAS Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman yang menjadi wakil rakyat di Kemahang sejak PRU11.
DUN Kemahang mempunyai 23,258 pengundi berdaftar. -Bernama

