SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mendesak pindaan segera Kanun Keseksaan bagi memastikan mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah berat setara bunuh tanpa niat (culpable homicide).
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pendekatan itu penting bagi mengiktiraf hakikat bahawa kelakuan tersebut bukan lagi kecuaian biasa tetapi satu perbuatan melampau yang mempunyai implikasi maut terhadap orang awam.
Menurutnya, setiap nyawa yang terkorban akibat pemandu mabuk adalah kegagalan yang tidak boleh dinormalisasikan.
"Ini bukan kemalangan. Ini adalah kecuaian yang membunuh. Ia adalah akibat daripada satu keputusan sedar yang meletakkan nyawa orang lain dalam risiko maut
"Undang-undang mesti mencerminkan realiti ini. Keadilan kepada mangsa menuntut ketegasan, keberanian dan keselamatan rakyat untuk melakukan reformasi," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.
Tambah Ahmad Fahmi, ABIM turut menggesa agar pesalah yang disabitkan dalam kes sedemikian perlu dikenakan hukuman yang lebih berat termasuk penggantungan lesen jangka panjang dan pertimbangan larangan memandu seumur hidup, khususnya bagi kes serius atau berulang.
Jelas beliau, pendekatan tanggungjawab ketat juga perlu diperkenalkan dalam kes melibatkan pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang yang menyebabkan kematian.
"Pembuktian tidak seharusnya bergantung kepada niat membunuh, sebaliknya memadai dengan bukti bahawa pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta tindakannya menyebabkan kematian.
"Seterusnya, ujian alkohol dan dadah hendaklah diwajibkan dalam semua kes kemalangan maut atau kecederaan serius bagi memastikan ketelusan, keadilan dan keberkesanan pendakwaan.
"Selain itu, sistem penilaian kelayakan memandu perlu diperketatkan melalui pendekatan berasaskan keselamatan awam, termasuk saringan terhadap individu berisiko tinggi agar jalan raya tidak menjadi ruang ancaman kepada pengguna lain," ulasnya.
ABIM turut menegaskan bahawa penguatkuasaan yang konsisten termasuk sekatan jalan raya berkala dan ujian rawak, mesti diperkasakan, di samping kempen kesedaran berterusan untuk membina budaya bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub berpendapat, undang-undang perlu diperkasakan agar pampasan (diyat) sampai kepada waris dengan cepat tanpa membebankan.
"Berkenaan kes pemandu mabuk, hukuman penjara tidak mampu menyara anak yatim dan isteri yang hilang punca nafkah," katanya.
