SHAH ALAM - Kerajaan disaran memberi pengiktirafan nasional terhadap jasa dan sumbangan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang meninggal dunia pada Ahad.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, antara pengiktirafan itu termasuk pertimbangan mengangkat Allahyarham sebagai Tokoh Peradaban Negara atau melalui inisiatif lain yang setara dengan legasi keilmuan beliau.
“Pengiktirafan sedemikian bukan sekadar mengenang seorang sarjana besar, tetapi merupakan penghargaan terhadap tradisi keilmuan yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun bangsa.
“ABIM berpandangan bahawa sumbangan Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas kepada pembangunan pemikiran Islam, pendidikan serta peradaban Melayu-Islam adalah terlalu besar untuk dikenang sekadar dalam ruang akademik semata-mata.
“Beliau merupakan antara sarjana yang telah mengangkat nama Malaysia dalam wacana keilmuan dunia serta memberikan sumbangan besar kepada pembinaan kerangka pemikiran yang memartabatkan Islam sebagai asas peradaban bangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan gelaran Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara dalam bidang pendidikan Islam oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Gelaran Profesor Diraja ialah anugerah tertinggi yang dikurniakan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ahli akademik yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan kemajuan negara.
Ujar Ahmad Fahmi, Allahyarham merupakan tokoh sarjana yang berusaha memperkasa martabat tradisi ilmu Islam ketika dunia berhadapan dengan krisis identiti, sekularisasi pemikiran dan kekeliruan konsep ilmu.
Menurutnya, gagasan Allahyarham mengenai Islamisasi ilmu, konsep ta’dib dalam pendidikan dan analisis krisis kehilangan adab juga membuka ruang baharu dalam kebangkitan intelektual.
“Ia menegaskan bahawa pemulihan tamadun Islam mesti bermula dengan pemulihan pandangan alam, disiplin ilmu serta pembinaan insan beradab.
“Melalui karya, institusi serta generasi murid yang dibimbingnya, termasuk peranan penting beliau dalam perkembangan awal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta penubuhan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Allahyarham telah meletakkan asas penting kepada satu tradisi keilmuan yang menggabungkan ketelitian ilmiah, kedalaman spiritual serta kesedaran peradaban,” ujarnya.
Kata Ahmad Fahmi, selain sumbangan pemikiran, Allahyarham turut mempunyai hubungan dekat dengan sejarah awal penubuhan ABIM sendiri.
“Beliau merupakan antara tokoh yang terlibat dalam mereka bentuk logo ABIM yang kekal menjadi lambang perjuangan gerakan ini sehingga hari ini.
“Di samping itu, beliau juga mencetuskan idea penerbitan serta penamaan Risalah ABIM, yang menjadi wahana penting penyebaran pemikiran dan wacana dakwah pada peringkat awal gerakan,” katanya.

