SHAH ALAM - Pemergian tokoh pemikir dan intelektual ulung, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada Ahad disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan ummah di negara ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peranan utama Allahyarham sebagai pengasas pembangunan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) adalah legasi kekal terhadap keilmuan serta penyelidikan.
"Almarhum merupakan antara pemikir ulung Islam pada masa kini melalui sumbangan keilmuannya tentang konsep adab, pengislaman ilmu dan warisan intelektual dunia Melayu-Islam.
"Beliau mengingatkan kita bahawa peradaban sejati adalah terbina atas keilmuan yang dipandu dengan hikmah, etika dan keimanan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, Pas merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan kepada penuntut yang pernah menimba ilmu daripada tokoh keilmuan Islam itu.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat keampunan ke atas roh almarhum dan menempatkannya dalam kalangan para solehin, selain menjadikan warisan ilmu yang ditinggalkan beliau ladang ibadah dan sedekah yang tidak putus-putus," katanya..
Pada Oktober 2024, Allahyarham yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah, teologi dan tamadun Islam menerima gelaran Profesor Diraja Pendidikan Islam sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan besarnya kepada pembangunan ilmu serta pendidikan.
Dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Indonesia, Allahyarham berkahwin dengan Latifah Abdullah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Sharifah Faizah Al-Attas, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Sharifah Shifa Al-Attas dan Syed Haidar Al-Attas.
Selain ISTAC, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2012.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat bagi beberapa institusi akademik antarabangsa termasuk Siri Terjemahan Islam Al-Hikma di Institut Pengajian Kebudayaan Global, Binghamton University, Universiti Brigham Young serta Akademi Diraja bagi Penyelidikan Tamadun Islam, Ensiklopedia Tamadun Arab Islam, Amman, Jordan.

