Able Global Berhad perkukuh operasi, pacu pelaburan berimpak tinggi

Business & Finance
29 Jul 2026 • 11:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Able Global Berhad perkukuh operasi, pacu pelaburan berimpak tinggi
Pengurusan kanan syarikat menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek Able Business Park di Kuala Langat pada Selasa.

KUALA LANGAT - Able Global Berhad melakar sejarah tersendiri apabila mengadakan majlis pecah tanah rasmi bagi pembangunan Able Business Park, menandakan bermulanya fasa baharu dalam pengembangan infrastruktur, hartanah perindustrian dan kapasiti operasi syarikat.

Able Global Berhad dalam kenyataan berkata, projek tersebut direka khas untuk menyediakan ekosistem perindustrian yang komprehensif, moden dan holistik.

Menurut kenyataan tersebut, pembangunan merangkumi pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ), pusat komersial dan lot-lot kilang yang dilengkapi fasiliti moden berasaskan teknologi terkini bagi menyokong kecekapan operasi perniagaan.

"Kami menjangkakan pembangunan Fasa Satu akan siap dan mula beroperasi dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. Fasa Dua pula selepas fasa pertama berjaya disiapkan.

"Pembangunan berfasa ini dirangka secara strategik untuk menyokong visi jangka panjang syarikat.

"Menjelang persediaan Fasa Dua kelak, kilang dan fasiliti utama syarikat yang merangkumi Able Dairies, Able Food serta Unican bakal digabungkan sepenuhnya ke dalam satu fasiliti gergasi bersepadu iaitu Able Global Complex," katanya pada Selasa.

Dalam masa sama, syarikat tersebut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Selangor, khususnya Invest Selangor.

Tambahnya, sokongan padu dan insentif yang disalurkan oleh pihak kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam memastikan projek berkenaan kekal berdaya saing.

"Kerjasama erat ini bukan sahaja memangkinkan kejayaan Able Business Park, malah diyakini mampu menarik dan membawa masuk lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke dalam sektor perindustrian negeri.

"Penggabungan fasiliti di bawah Able Global Complex kelak amat sejajar dengan teras utama operasi syarikat dalam sektor pengeluaran produk tenusu.

"Penyatuan ini dijangka mengoptimumkan pengurusan operasi dan logistik rantaian bekalan, memaksimumkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuhkan lagi kedudukan kami dalam memenuhi permintaan pasaran domestik mahupun eksport antarabangsa," ujar kenyataan itu lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved