Pelaburan TNB di United Kingdom pacu kepelbagaian pendapatan, perkukuh ESG - Kenanga Research

WorldBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan TNB di United Kingdom pacu kepelbagaian pendapatan, perkukuh ESG - Kenanga Research Image from: Pelaburan TNB di United Kingdom pacu kepelbagaian pendapatan, perkukuh ESG - Kenanga Research hamden29/07/2026 - 10:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pelaburan strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di United Kingdom (UK) menunjukkan perkembangan yang positif, terutamanya menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu yang melakukan lawatan teknikal ke UK baru-baru ini, berkata walaupun masih menyumbang bahagian kecil kepada pendapatan keseluruhan kumpulan, pelaburan dalam Vantage RE memainkan peranan penting dalam mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.


 
Ditubuhkan pada 2021, Vantage RE berfungsi sebagai platform utama TNB bagi pelaburan dan pengurusan aset tenaga boleh diperbaharui di United Kingdom dan Eropah.

 

Vantage RE kini menguruskan portfolio aset berkapasiti keseluruhan 1.3GW, termasuk 908MW aset yang telah beroperasi, terdiri daripada 743MW tenaga solar, 124MW tenaga angin darat (onshore wind) dan 41.5MW tenaga angin luar pesisir (offshore wind).

 

Kenanga Research turut melawat beberapa aset utama Vantage RE, termasuk Ladang Angin Darat Whiteside Hill berkapasiti 28.5MW di Sanquhar, Scotland yang mencatat faktor kapasiti tinggi sebanyak 41.9%, selain Ladang Solar Eastfields berkapasiti 35MW di Warwickshire, England.

 

"Walaupun sumbangan pendapatan daripada operasi luar negara ini masih agak kecil, ia membantu mempelbagaikan sumber pendapatan, manakala portfolio aset yang sepenuhnya berasaskan tenaga boleh diperbaharui turut meningkatkan penarafan ESG TNB," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Vantage RE

 

Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), pelaburan tenaga boleh diperbaharui antarabangsa TNB di United Kingdom dan Australia menyumbang pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM460 juta, berbanding jumlah keseluruhan EBITDA kumpulan sebanyak RM20.51 bilion.

 

Walaupun sumbangan tersebut masih kecil berbanding operasi domestik, Kenanga Research berpandangan aset-aset itu mempunyai nilai strategik kerana menawarkan aliran pendapatan yang stabil di pasaran maju, dengan pendedahan minimum terhadap risiko turun naik mata wang asing.

 

Selain itu, portfolio tersebut turut disokong oleh gabungan perjanjian pembelian tenaga (PPA) tradisional dan kontrak perbezaan (Contracts for Difference, CfD), sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik.

 

Dalam masa sama, Vantage RE mempunyai kira-kira 400MW projek pembangunan yang sedang dirancang, termasuk sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan tambahan projek tenaga angin darat, yang dijangka terus mengukuhkan kedudukan TNB dalam peralihan tenaga global.

 

Pusat Data Pemangkin Pertumbuhan Baharu

Di peringkat domestik, Kenanga Research melihat kemasukan pelaburan pusat data (DC) ke Malaysia sebagai pemangkin utama kepada peningkatan permintaan bekalan elektrik dalam tempoh sedekad akan datang.

 

Firma itu menjangkakan permintaan elektrik daripada sektor pusat data akan melebihi 8,000MW menjelang 2035, bersamaan kira-kira 20% daripada jumlah kapasiti penjanaan elektrik Malaysia.

 

"Perkembangan ini dijangka terus merangsang pertumbuhan permintaan elektrik, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan bukan dikawal selia TNB," katanya.

 

data1
Pertumbuhan pesat pusat data meningkatkan permintaan terhadap elektrik. - Gambar/Facebook Fazli Salleh

 

Bagi tempoh terdekat, sebanyak 700MW kapasiti pusat data dijangka mula beroperasi pada FY26, sekali gus menyokong pertumbuhan penggunaan elektrik.

 

Menurut Kenanga Research, perkembangan pesat industri pusat data turut memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur penghantaran dan pengagihan elektrik, iaitu segmen yang dikuasai TNB melalui rangkaian grid nasionalnya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan TNB bagi FY26 hingga FY27, berasaskan andaian pertumbuhan jualan elektrik tahunan sebanyak 3.5%.

 

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan saranan "Outperform" terhadap saham TNB dengan harga sasaran RM17 sesaham, disokong oleh profil pendapatan defensif daripada aset-aset dikawal selia serta kedudukan syarikat sebagai penerima manfaat utama aliran pelaburan langsung asing (FDI) dan pertumbuhan industri pusat data.

 

Firma itu turut mengunjurkan keuntungan bersih teras TNB meningkat daripada RM4.77 bilion pada FY25 kepada RM5.04 bilion menjelang FY27, didorong oleh pertumbuhan berterusan permintaan tenaga elektrik serta prospek jangka panjang yang semakin kukuh dalam segmen utiliti dan tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved