ABM, AIBIM nasihatkan pelanggan kemas kini pelayar web dan sistem operasi mudah alih demi keselamatan perbankan

LocalTechnology
22 Dec 2025 • 11:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ABM, AIBIM nasihatkan pelanggan kemas kini pelayar web dan sistem operasi mudah alih demi keselamatan perbankan
image is not available
haziq22/12/2025 - 11:27 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Dis – Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menggesa pelanggan supaya memastikan pelayar web dan peranti mudah alih mereka sentiasa dikemas kini ke versi terkini bagi melindungi akaun perbankan daripada ancaman siber dan penipuan dalam talian.

 

Dalam kenyataan bersama hari ini, ABM dan AIBIM berkata, penggunaan versi pelayar web dan sistem operasi (OS) mudah alih terkini membolehkan pelanggan menerima tampalan keselamatan terbaharu, sekali gus mengukuhkan perlindungan daripada ancaman siber serta perisian hasad (malware).

 

Menurut kenyataan itu, peranti yang menggunakan versi lama atau tidak lagi disokong adalah lebih terdedah kepada risiko keselamatan dan kebiasaannya tidak lagi menerima kemas kini penting daripada pembangun seperti Apple, Google dan Mozilla.

 

“Bagi mengurangkan risiko perisian hasad, bank mungkin akan memperkenalkan langkah pengesahan tambahan, mengurangkan had transaksi atau mengenakan sekatan tertentu ke atas pelanggan yang menggunakan versi tidak disokong,” katanya.

 

ABM dan AIBIM berkata, dalam keadaan tertentu, bank juga boleh menyekat transaksi yang berpunca daripada versi peranti atau pelayar web yang tidak selamat bagi melindungi pelanggan dan dana mereka. Langkah ini bertujuan meningkatkan keselamatan serta memastikan ketenangan fikiran pelanggan.

 

Menurut kenyataan itu, pelanggan dinasihatkan untuk mengemas kini peranti dengan membuka tetapan pelayar web atau peranti mudah alih masing-masing dan memasang kemas kini terkini yang tersedia, sebelum memulakan semula peranti bagi melengkapkan proses tersebut.

 

Bagi perlindungan tambahan, industri perbankan turut menasihatkan pelanggan supaya hanya memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi rasmi. 

 

Pelanggan yang masih menggunakan peranti lama atau usang digalakkan menaik taraf kepada model lebih baharu bagi memastikan penerimaan tampalan keselamatan secara berkala.

 

Menurut ABM dan AIBIM, sistem operasi mudah alih yang kini disokong oleh Google dan Apple masing-masing adalah Android versi 13 dan ke atas, serta iOS versi 18 dan ke atas. Maklumat lanjut mengenai sokongan OS boleh dirujuk di laman web endoflife.date.

 

Bagi pelayar web pula, versi yang dianggap tidak selamat termasuk Google Chrome versi 140 ke bawah, Firefox versi 141 ke bawah dan Safari versi 18.5 ke bawah. 

 

Pelanggan boleh melayari browser-update.org untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai versi pelayar web yang selamat.

 

“Industri perbankan kekal komited untuk memastikan perkhidmatan perbankan yang lebih selamat dan terjamin. Sepanjang tempoh peralihan ini, pelanggan akan diberikan panduan berkaitan keperluan pelayar web dan OS mudah alih serta garis masa pelaksanaannya,” menurut kenyataan itu.

 

Tambahnya, beberapa bank dengan kerjasama rakan peranti terpilih juga akan menawarkan harga diskaun atau pakej khas kepada pelanggan yang layak untuk menaik taraf peranti mudah alih mereka.

 

Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi bank masing-masing melalui cawangan, pusat panggilan atau saluran rasmi bank.

 

Bagi maklumat terperinci mengenai keperluan pelayar web dan OS setiap bank, pelanggan digalakkan berhubung terus dengan bank masing-masing.

 

Dalam pada itu, pelanggan yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk segera mengaktifkan fungsi ‘Kill Switch’ bagi menghentikan atau mengelakkan kerugian lanjut, serta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau talian kecemasan penipuan bank masing-masing untuk mendapatkan bantuan segera. - DagangNews.com

Terkini standard