Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita mahu menunjukkan imej negara yang terbaik kepada pelancong asing. Ini termasuklah adab sopan, kebersihan ‘tip-top’, menonjolkan makanan warisan yang enak, persekitaran yang bersih dan banyak lagi.
Namun disebabkan sikap sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang mengotorkan sesebuah kawasan, nama Malaysia yang mendapat tempiasnya. Itulah yang berlaku di bangunan Bund Shanghai terletak di Kuala Lumpur.
YouTuber Australia Dedah Bangunan Usang & Kotor Di Kuala Lumpur
Baru-baru ini, video vlog oleh seorang YouTuber dari Sydney, Australia dikenali sebagai Marco Roams telah tular di laman Threads menunjukkan dia sedang menjelajah sekitar ibu kota, Kuala Lumpur.
Lain daripada vlog biasa, Marco atau nama sebenarnya Marcus Romer telah mendedahkan pemandangan bandar kurang menyenangkan yang mungkin jarang dilihat oleh pelancong asing.
Ini termasuklah bangunan kediaman yang usang dan tidak terurus di Flat Hicks atau lebih dikenali sebagai Bund Shanghai yang terletak di Jalan Changkat, Kuala Lumpur.
Menerusi video tersebut, kelihatan sampah sarap dan sisa makanan berlonggokan di pintu masuk bangunan berkenaan seolah-olah penduduk di kawasan itu hanya mencampakkan sahaja sampah dari tingkat atas ke bawah.
![Image from: “Absolute Disgrace” – Vlogger Mat Saleh Dedah Keadaan Bangunan Kediaman Tak Terurus Di KL [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/07/bund-shanghai.jpg)
Bund Shanghai Bukan Bangunan Untuk Dirobohkan, Tetapi Tempat Orang Menginap – YouTuber Australia
Marco menyifatkan keadaan bangunan itu sebagai ‘sangat memalukan’. Semasa memasuki bangunan berkenaan, apa yang boleh dihidu olehnya hanyalah bau hancing.
“Saya ulang balik. Ni bukannya bangunan yang akan dirobohkan tetapi tempat yang mana ada manusia menginap,” katanya.
Keadaan di dalam bangunan juga kelihatan sama seperti di luar iaitu usang, terbiar dan kotor.
Marco Terkejut, Persoal Kerajaan Malaysia Biarkan Bangunan Usang Di Tengah-tengah KL
Marco juga berkata keadaan bangunan yang tidak terjaga itu menunjukkan imej yang tidak begitu baik tentang Kuala Lumpur.
“Bayangkan kalau korang tempah penginapan dan akhirnya dibawa ke sini. Saya pernah buat video di sini pada satu tahun setengah yang lepas, jadi saya ingatkan tempat ni dah dipulihkan. Jadi saya sengaja datang balik untuk tengok kalau ada perbezaan tapi tidak.
“Saya terkejut kerajaan Malaysia biarkan benda ni (bangunan usang dan kotor) sebab mereka (kerajaan) berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang cantik.
“Macam saya cakap sebelum ni, penyelenggaraan di tempat lain (di Malaysia) sangat bagus termasuklah jalan raya tapi tempat macam ni menghampakan bandar (Kuala Lumpur),” ujarnya.
Vlog Di Flat Hicks Mula Dapat Perhatian Selepas Dimuat Naik Semula Di Threads
Untuk info, Marco telah memuat naik vlog berkenaan pada Julai tahun lalu.
Namun video itu dimuat naik semula baru-baru ini di laman Threads. Pengendali akaun FB-TSSM dalam hantarannya turut menyebut (mention) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
View on Threads
Bangunan Usang Flat Hicks Cemarkan Imej Negara Di Mata Pelancong
Menjengah ke ruangan balas di Threads, rata-rata orang ramai terkejut melihat keadaan bangunan usang yang sebegitu rupa.
“Saya tak tahu kita ada ‘Walking Dead’ di bandar Kuala Lumpur,” sindir seorang wanita.
Malah ramai juga berpendapat bahawa, bangunan terbiar di kawasan tumpuan pelancong asing itu menjatuhkan imej negara.
“Ni dekat Bukit Bintang, bersebelahan dengan dengan Jalan Alor jadi korang rasa malu tak? Pelancong semua ke sana sini (sekitar Kuala Lumpur) dan ni satu perkara yang memalukan buat rakyat Malaysia,” kata seorang netizen.
![Image from: “Absolute Disgrace” – Vlogger Mat Saleh Dedah Keadaan Bangunan Kediaman Tak Terurus Di KL [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/07/vloger-Australia-dedah-flat-hicks-terbiar-di-Kuala-Lumpur-1024x868.jpg)
![Image from: “Absolute Disgrace” – Vlogger Mat Saleh Dedah Keadaan Bangunan Kediaman Tak Terurus Di KL [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/07/vloger-Australia-dedah-flat-hicks-terbiar-di-Kuala-Lumpur-2-997x1024.jpg)
![Image from: “Absolute Disgrace” – Vlogger Mat Saleh Dedah Keadaan Bangunan Kediaman Tak Terurus Di KL [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/07/vloger-Australia-dedah-flat-hicks-terbiar-di-Kuala-Lumpur-3-1024x823.jpg)
Rata-rata Penghuni Flat Hicks Adalah Warga Asing
Isu bangunan terbiar ini sebenarnya sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu dan majoriti penduduk di sana terdiri daripada golongan warga asing.
Pada tahun 2024, seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan Ops Mega Bersepadu KL Strike Force ke atas bangunan usang yang dianggarkan sudah dibangunkan lebih tiga dekad itu.
Semasa serbuan dilakukan, wartawan mendapati bangunan terbabit berbau hancing, dipenuhi sampah serta terdapat banyak kesan ludahan air sireh. Pada waktu itu, kawasan berkenaan sudah pun ditutup dengan pagar besi berwarna biru dan ditampal notis merah oleh pihak DBKL.
Datuk Bandar KL & DBKL Turun Padang Lihat Keadaan Flat Hicks
Mengambil maklum video vlog yang tular, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud bersama pihak DBKL telah turun padang dan membuat tinjauan di lokasi susulan aduan serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang awam.
Menurut perkongsian DBKL, pihaknya sebelum ini telah pun melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan terhadap pelbagai pelanggaran undang-undang yang dikenal pasti.
Bagaimanapun tinjaun terbaharu di Flat Hicks mendapati terdapat beberapa perkara yang masih memerlukan tindakan susulan.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Fasiliti Di Putrajaya Tak Terurus, Hannah Yeoh Ingatkan PBT Jangan Tunggu Viral Baru Bertindak [Video]
DBKL Sedang Giat Bersihkan Bangunan Flat Hicks Selepas Terima Aduan
Sehubungan itu, kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dijalankan sebagai tindakan awal bagi memperbaiki keadaan di kawasan terbabit.
Dalam masa sama, Pesuruhjaya Bangunan (COB) DBKL akan memanggil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Hicks Flat untuk mengadakan satu sesi perbincangan khas bagi mengenal pasti punca, memperjelaskan tanggungjawab setiap pihak serta menyelaras pelan tindakan yang lebih tersusun berkaitan aspek kebersihan, penyelenggaraan bangunan dan pengurusan kawasan.
“Memandangkan Hicks Flat merupakan sebuah bangunan strata, penyelesaian isu ini memerlukan komitmen semua pihak. Selain tindakan oleh DBKL, badan pengurusan bangunan, pemilik, penghuni dan agensi berkaitan turut memainkan peranan penting dalam memastikan bangunan diurus dengan baik demi keselesaan semua,” kata kenyataan di laman Facebook itu.
Baca Artikel Berkaitan: Pelancong Mat Saleh Dakwa Semporna Tempat Paling Kotor Di Asia [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Nanti Malam New Year Lagi Teruk” – Ramai Kecewa Lihat KL Kotor Pada Malam Ambang Perayaan
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Kongsi POV Stesen Tren Di LA Yang Kotor Buat Ramai Rasa Bersyukur Dengan MRT & LRT Di Malaysia [Video]
