Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa konsol permainan ASUS ROG Xbox Ally X20 Edisi Ulangtahun Ke-20 ASUS ROG akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi, dan terkini, pihak ASUS Malaysia telah mengumumkan acara perkongsian tempatan untuk konsol tersebut yang akan diadakan tidak lama lagi.
Acara tersebut akan diadakan di ATO Gaming Cafe di Taman Tun Dr Ismail pada 3 dan juga 4 Oktober 2026 ini pada jam 12pm sehingga 11pm tanpa memerlukan sebarang temujanji ataupun tempahan awal. Jika anda seorang gamer yang berminat untuk melihat sendiri rupa-bentuk dan prestasi konsol ini boleh memperlihatkannya sendiri di acara tersebut.

Perubahan paling besar pada model ini ialah penggunaan skrin 7.4″ OLED menggantikan skrin 7″ LCD yang digunakan pada dua model terdahulu. Hasilnya ialah skrin lebih terang, melepasi piawaian DisplayHDR TrueBlack 1000 dan menyokong Dolby Vision.
Selain itu tubuh konsol kini sedikit lutsinar membolehkan komponen dalaman dilihat. Perubahan besar lain yang dilakukan ialah dua tombol kawalan analog kini dilengkapi sensor TMR (Tunnel Magnetoresistance) yang menyelesaikan isu stick drift dengan kubah butang muka juga direka semula untuk lebih selesa dipegang. Butang D-Pad kini boleh diubah ke mod 4 arah atau 8 arah dengan memutarkannya 90 darjah. Akhir sekali butang Xbox kini menyala dengan lampu hijau.
Acara ini sedikit sebanyak mengesahkan bahawa ASUS Malaysia akan membawa masuk konsol ini ke pasaran tempatan. ASUS Malaysia dijangka akan mengumumkan tanda harga dan juga tarikh jualan konsol ini sebelum ataupun sewaktu acara tersebut.
Sumber: ASUS Malaysia




