PENGANJURAN Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang mencetuskan bantahan ramai menunjukkan pendekatan dalam memajukan industri pelancongan dan hiburan tidak boleh sekadar meniru konsep luar tanpa menilai kesesuaian dengan identiti tempatan.
Malaysia bukan negara yang ketandusan idea atau tarikan kerana kekayaan warisan seni pelbagai kaum menjadi kekuatan sebenar yang membezakan negara ini daripada destinasi lain.
Acara yang cenderung mengangkat konsep hiburan luar seperti tembak air dan pesta muzik tanpa nilai tempatan menimbulkan persoalan tentang arah sebenar pembangunan industri pelancongan negara.
Kerajaan melalui agensi berkaitan sememangnya berusaha merancakkan sektor pelancongan dengan menarik acara berskala besar bagi menjana ekonomi dan meningkatkan kehadiran pelancong.
Namun, proses kelulusan dan pemantauan perlu lebih teliti agar setiap program yang dianjurkan benar-benar mencerminkan identiti Malaysia, bukan sekadar menjadi meniru acara dari negara lain.
Penganjur perlu lebih kreatif dan bertanggungjawab kerana dunia hari ini tidak lagi bergantung kepada konsep konvensional atau acara yang kelihatan lapuk.
Teknologi berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) membuka ruang luas untuk menampilkan seni serta budaya tempatan dalam bentuk yang lebih segar, interaktif dan bertaraf antarabangsa.
Persembahan tarian tradisional boleh diperkaya dengan visual digital yang dinamik selain kisah sejarah dipersembahkan melalui pengalaman maya atau festival budaya menggabungkan teknologi moden dengan elemen warisan.
Kebergantungan kepada konsep hiburan generik seperti pesta air atau muzik tanpa identiti tempatan hanya menjadikan Malaysia sekadar pengikut trend, bukan pencipta pengalaman.
Lebih membimbangkan, ia boleh menenggelamkan nilai budaya yang sepatutnya menjadi teras kepada pelancongan negara.
Justeru, beberapa penambahbaikan perlu diberi perhatian termasuk proses penilaian acara melibatkan pakar budaya, industri kreatif dan komuniti setempat bagi memastikan keseimbangan antara nilai komersial serta identiti nasional.






