SHAH ALAM - Majlis Ulama UMNO bertanggungjawab menegur orang ramai untuk tidak hadir ke Festival Muzik Air Rain Rave 2026, begitu juga menasihati menteri supaya membatalkannya.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, orang Islam dan bukan Islam yang faham bahawa festival muzik air berupaya terdedah kepada perkara tidak elok pasti tidak akan hadir.
"Tapi kami juga bertanggungjawab menegur orang lain agar jangan hadir dan ada tanggungjawab tegur Menteri supaya batalkan.
"Jangan rasa kebal dengan kuasa rakyat yang boleh membuang menteri dan kerajaan jika terlalu menjolok mata.
"Menteri Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mufti Wilayah Persekutuan telah beri nasihat. Saya juga beri nasihat kepada Yang Berhormat Menteri yang saya kenali secara peribadi demi kebaikan Kerajaan Madani," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata demikian susulan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing membidas segelintir pihak yang membantah penganjuran Rain Rave 2026.
Tegas beliau, orang ramai tidak perlu hadir ke festival berkenaan kalau tidak suka.
Dalam pada itu, kata King Sing, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi jaminan keselamatan pengunjung pada Festival Muzik Air Rain Rave 2026 selama tiga hari termasuk kawalan ketat oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, polis dan agensi penguat kuasa sentiasa memantau ketenteraman awam di lokasi penganjuran serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, seramai 500 pegawai serta anggota termasuk bantuan daripada Bukit Aman dan seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur ditempatkan di pelbagai lokasi strategik bagi mengawal ketenteraman awam serta memastikan kelancaran festival itu.





